Pernah kAU berkata
Susunilah langkahmu pada-KU
Nantinya kau kan KU kejari
Maka tersungkurlah aku pada satu kembara
Kerana ku mengerti
Dihujungnya KAU sedang menanti
Jua selalu KAU berkata
Hayatilah perutusan-perutusan
Agar nanti
Rindu pada-MU kan sentiasa bergelodak
Dan cinta kita mula mencari akarnya
Benarlah,
Pada coretan-MU tersirat
Bilah-bilah ketenangan
Yang ku kutip dicelah kepayahan
Namun tatkala keresahan dunia
Mula membaluti
KAU hadiahkan kasih yang syahdu
Melalui surat-surat-MU
Langsung tenggelamlah aku
Dilautan rindu…
Kata-MU lagi,
Sujudlah pada-KU
Lalu ku tafakkur pada nada seru-MU
Lemas pada asyiknya menagih cinta
Bisik-MU jua
Nama-MU ulangilah…
Ulangilah…
Luahkanlah ungkapan cinta-MU
Walau gelita malam terus membungkus
Agar pantas
Seruan-Mu aku sambut
Lalu jadilah aku penyair setia
Yang mengharap puisi cinta
Dan epilog cinta
Rindu menjadi satu
Dan namaMU ku kalung
setiap waktu...
0 comments:
Post a Comment